Sunday 27 October 2019

Perkembangan Terbaru

Bismillahir Rahmanir Rahim,

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Intro

Kali terakhir menulis di blog ini pada beberapa tahun yang lepas, dimana saya tidak menjangkakan bagaimana sebenarnya perjalanan hidup yang bakal saya tempuhi.

Tetapi, apabila dipandang dari sudut hikmah, ia terlalu besar kerana tetaplah Allah SWT yang mengatur segala-galanya dari awal.

Sebelum saya sendiri lahir ke dunia mahu pun setelahnya kemudian akan sampai ke penamat dunia di akhirat segalanya-galanya akan diperhitungkan.

Ketika saya sedang menaip setiap huruf ini, Allah SWT telah pun mengetahuinya maka saya berniat untuk menulis perkara-perkara yang bermanfaat buat saya setelah saya kembali kepada pencipta saya dan semoga setiap perkataan selari dengan perbuatan dan menjadi pedoman buat pembaca budiman.

Saya berhasrat apa sahaja yang saya nukilkan menjadi bekalan buat anak-anak saya kerana mereka inilah yang akan menjadi saham saya di akhirat in shaa Allah.

Perkembangan Terbaru

Ilmu Tadabbur Al Quran

Alhamdulillah, Allah Maha Baik sentiasa membimbing hambaNya yang hina ini. Setiap masa Allah SWT mengajarkan saya ilmu baru. Syukur sangat-sangat. Di antara kesempatan yang Allah SWT beri adalah kembali kepada Al Quran. Masya Allah Tabarakallah. Allah SWT menyusun dan mengatur hidup saya dengan baik. Saya seronok dapat menyelam ilmu-ilmu yang terdapat dalam Al Quran. Banyakkkk sangat tak terhitung. Baru saya faham apa itu tadabbur. Selama ini saya hanya kerap pergi ke kelas-kelas Tadabbur Al Quran kerana saya suka pergi majlis ilmu (bi iznillah) tetapi rupanya saya tidak menjiwai. Pergi kelas, dapat maklumat, simpan maklumat dalam otak tetapi tiada proses turun ke hati. Saya baru sedar akan hal ini beberapa bulan yang lepas ketika saya benar-benar mohon Allah SWT memimpin saya setelah saya ditimpa musibah. Allah Maha Baik. Saya akan ceritakan secara terperinci lagi tentang perjalanan tadabbur yang membuka jiwa saya. Masya Allah, sangat indah.

Alam Sekitar

Selain bertadabbur, Allah SWT juga memimpin saya tentang hal-hal alam sekitar. Ilmu yang saya tidak nampak sebelum ini. Sebelum ini saya hanya banyak mengomel tentang orang-orang yang suka membuat fasad, jika saya dapati Al Mufsiddun ini membuang sampah merata-rata saya akan segera bertindak meminta orang-orang ini membuang pada tempatnya. Seolah-olah saya ini polis alam sekitar. Kebanyakan mereka tidak mempunyai sensitiviti kerana menganggap pihak berkuasa tempatan yang akan menjaga dan mengutip sampah di kawasan tersebut. Tiada empati dan telah menjadi habit. Jika kita bertanya tentang alam sekitar, semua orang akan suka buktinya mereka ini pandai pergi ke pantai menikmati keindahan pantai. Kononnya! Tetapi dalam tidak mereka perasan, mereka juga telah mencemari alam sekitar kerana tidak mendidik diri untuk turut menyumbang atau berkhidmat kepada alam.

Penulisan

Disamping itu juga, Alhamdulillah tahun ini dapat banyak tugas penulisan. Sebagai penulis upahan khususnya sebagai transkriptor video mahupun audio, banyak yang saya pelajari hasil dari apa yang ditulis. Walaupun ada ketika dibayar dengan harga yang rendah atau tidak dibayar namun saya menikmatinya dengan rasa seronok kerana saya menulis bukan untuk mengejar wang ringgit yang banyak. Cukuplah untuk dihargai sekadarnya. Nilai di sisi Tuhan itu lebih penting. In shaa Allah.

Jadi, setakat ini dulu perkembangan terbaru saya. In shaa Allah saya akan terus menulis.